Mari Mengenali Mazhab ASYA'IRAH

Posted by Jemari Sunnah | Posted in , | Posted on 11:17 PG

Assalamualaikum,

Insyaallah pada pagi ini ana akan menulis tentang satu mazhab dalam akidah iaitu Mazhab ASYA'IRAH...

Perhentian kita yang seterusnya dalam menelaah kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib DiPerbetulkan) karya al-Muhaddith Dr.Sayyid Muhammad bin `Alawi al-Maliki ialah tentang salah-faham terhadap mazhab aqidah Asya`irah. Asya`irah adalah gelaran kepada mereka yang mengikut pegangan mazhab aqidah yang dirumuskan oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ariy RH. Ia merupakan mazhab aqidah majoriti besar umat Islam sepanjang zaman.


Pun begitu, masih ramai umat Islam tidak mengetahui tentang mazhab Asya’irah. Mereka tidak mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan al Asya’irah dan method mereka di dalam bidang aqidah. Lantaran itu, sebahagian daripada mereka tidak berhati-hati meletakkan Asya’irah di dalam kesesatan dan melemparkan tuduhan bahawa Asya’irah telah terkeluar daripada agama Islam dan tergolong di dalam golongan mulhid (terpesong dari kebenaran) di dalam menghuraikan sifat-sifat Allah.

Kejahilan inilah yang menyebabkan berlakunya perpecahan terhadap kesatuan Ahli Sunnah dan merobek kesatuan umat Islam sehingga sebahagian orang-orang jahil menganggap golongan Asya’irah tergolong di dalam golongan yang sesat. Saya tidak tahu, bagaimana mereka menyamakan di antara golongan yang beriman dengan golongan yang sesat, dan bagaimana mereka boleh menyamakan di antara golongan ahli Sunnah dengan pelampau Muktazilah yang merupakan golongan Jahmiyyah? (pengikut Jaham ibn Sofwan yang berasal dari Khurasan. Mazhabnya dikenali dengan Jabariah yang berpendapat tidak ada ikhtiar bagi makhluk.)

Firman Allah SWT: “Patutkah Kami (berlaku tidak adil dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat) sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur dan ingkar).” (Apa sudah jadi dengan akal kamu?) Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?.”(al-Qalam: 35-36)

Asya’irah ialah pemimpin-pemimpin ulama’ Islam yang membawa petunjuk dan ulama’ yang mempunyai ilmu meliputi timur dan barat. Kelebihan, keilmuan dan keagamaan mereka disepakati oleh manusia pada zaman mereka. Mereka merupakan tokoh-tokoh ulama’ Ahli Sunnah berwibawa tinggi yang berdiri teguh menentang kesesatan fahaman Muktazilah. Dalam mengupas tentang mazhab Asya’irah, Ibnu Taimiyyah berkata: Ulama’ ialah golongan pembantu ilmu-ilmu agama, manakala Asya’irah ialah golongan pembantu usul agama. (Al-Fatawa: H: 16, Juzu’ 4)

Sesungguhnya mereka merupakan tokoh-tokoh hadith, feqah dan tafsir dari kalangan tokoh-tokoh imam yang utama seperti Syeikh al Islam Ahmad Ibnu Hajar al ‘Asqalani RH; syeikh dan pakar hadith yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Beliau juga merupakan pengarang kitab Fath al Bari ‘ala Syarh al Bukhari yang tidak dapat tidak, diperlukan dan dipegang oleh semua ulama’. Beliau berpegang dengan mazhab Asy’ari.

Begitu juga syeikh ulama’ Ahli Sunnah; Imam Nawawi RH, pengarang Syarah Sohih Muslim dan karya-karya lain yang masyhur, bermazhab Asy’ari. Syeikh Ahli Tafsir, Imam al Qurtubi RH pengarang kitab Tafsir al Jami’ li Ahkam al Quran, bermazhab Asy’ari. Syeikh al Islam Ibnu Hajar al Haitami RH pengarang kitab al Zawajir ‘an Iqtiraf al Kabair, bermazhab Asy’ari. Syeikh Feqah dan Hadith, al Imam al Hujjah al Thabat Zakaria al Ansari RH, bermazhab Asy’ari.

Imam Abu Bakar al Baqilani RH, Imam al Qustallani RH, Imam al Nasafi RH, Imam al Syarbini RH, Abu Hayyan al Nahwi RH pengarang tafsir al Bahr al Muhit, Imam Ibnu Juzaiy RH pengarang kitab al Tashil fi Ulum al Tanzil dan lain-lain lagi, kesemuanya merupakan tokoh-tokoh Asya’irah.

Sekiranya kita hendak mengira bilangan pakar ilmuwan dari kalangan ahli hadith, tafsir dan feqah yang bermazhab Asy’ari, pasti tidak muat untuk ditulis di dalam kitab ini dan tentunya memerlukan beberapa jilid kitab untuk memuatkan kesemua nama ulama’ ini yang ilmu mereka tersebar luas di Timur dan Barat dunia. Sesungguhnya menjadi kewajipan ke atas diri kita, menyifatkan mereka dengan sifat-sifat yang baik dan mengenali kelebihan ahli ilmu yang telah menaburkan khidmat mereka kepada syari’at Rasulullah SAW.

Di manakah lagi kebaikan yang kita harapkan sekiranya kita melemparkan tuduhan sesat dan menyeleweng daripada kebenaran kepada ulama’ besar kita dan salafussoleh? Bagaimanakah Allah akan membukakan bagi kita untuk mendapat faedah dari ilmu-ilmu mereka setelah kita beri’tiqad bahawa mereka berada dalam keraguan dan menyimpang dari jalan Islam?

Pengarang menegaskan, “Sememangnya patut saya katakan, adakah terdapat ulama’ masa kini yang terdiri daripada doktor-doktor dan cerdik pandai mampu melakukan sepertimana yang telah dilakukan oleh Syeikh al Islam Ibnu Hajar al ‘Asqalani RH dan Imam Nawawi RH dalam berkhidmat terhadap Sunnah Rasulullah SAW yang suci? Adakah kita mampu untuk memberikan khidmat terhadap Sunnah Nabi SAW sebagaimana yang dilakukan oleh kedua-dua ulama’ besar ini? Semoga Allah mengurniakan kepada mereka rahmat dan keredhaanNya.

Bagaimanakah kita boleh menuduh mereka dan ulama’ mazhab al Asya’irah yang lain sebagai sesat, sedangkan kita amat memerlukan ilmu-ilmu mereka? Bagaimanakah pula kita boleh mengambil ilmu daripada mereka, sekiranya kita mengatakan mereka berada di dalam kesesatan? Imam Ibnu Sirin RH berkata: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu.”

Atau memadailah golongan pembangkang berkata, “Sesungguhnya Allah telah merahmati mereka (ulama’ al Asya’irah), mereka berijtihad, lalu melakukan kesilapan di dalam mentakwilkan sifat-sifat Allah.” Perkataan ini adalah lebih baik daripada kita bertindak melulu menuduh tokoh-tokoh ini dengan keraguan dan kesesatan dan membenci orang-orang yang tergolong di kalangan Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Sekiranya Imam Nawawi, al ‘Asqalani, al Qurtubi, al Baqilani, al Fakhr al Razi, al Haitami, Zakaria al Ansari RHM dan ulama’ berwibawa yang lain tidak tergolong di dalam golongan Ahli Sunnah wal Jama’ah, maka siapakah dia Ahli Sunnah wal Jama’ah?

 Saya menyeru dengan ikhlas kepada setiap pendakwah dan orang-orang yang bergiat dalam lapangan dakwah Islam, agar bertaqwa kepada Allah dalam urusan umat Muhammad SAW terutamanya terhadap tokoh-tokoh ulama dan fuqaha’nya. Sesungguhnya umat Nabi Muhammad SAW sentiasa berada dalam kebaikan hingga hari Kiamat. Tidak ada kebaikan pada diri kita apabila kita tidak mengetahui kedudukan dan kelebihan ulama’ kita. (Untuk rujukan lanjut, dicadangkan tulisan Syeikhuna al ‘Allamah Syeikh Muhammad Ali Sobuni mengenai Mazhab Asy’ariyyah dalam perbahasan yang panjang lebar dan sangat bagus)”








Al-Asya’irah adalah pengikut Imam Abu Hasan al-Asy'ari yang mempunyai jasa yang besar dalam membersihkan aqidah Ahlussunnah wal Jamaah daripada kekeruhan yang dicetuskan oleh golongan Mu'tazilah. Kebanyakan pendokong dan ulama ulung umat ini adalah daripada golongan Al-Asya’irah. Sedangkan golongan yang mempertikaikan mereka ini tidak pun mencapai separas buku lali mereka dr segi ilmu, wara' dan taqwa.

Di antara ulama Al-Asya’irah ialah: Imam al-Haramain, Imam al-Ghazali, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Fakhruddin ar-Razi dan sebagainya. Apakah dosa yang telah mereka lakukan? Adakah kerana mereka bertungkus-lumus untuk membuat penolakan ke atas kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan Musyabbihah berhubung dengan Zat Allah? Golongan Musyabbihah ini cuba untuk menetapkan bahawa Allah SWT mempunyai jisim melalui ayat-ayat mutasyabihat dan hadith-hadith yang menyatakan secara zahirnya bahawa Allah mempunyai tangan, mata, siku, jari-jari dan sebagainya.

Lalu ulama Al-Asya’irah bangun membuat penolakan ke atas kekeliruan mereka itu dengan membawa ayat-ayat dan hadith-hadith tadi kepada makna majaz, kerana golongan Musyabbihah ini tidak menerima prinsip tafwidh (penyerahan makna kepada Allah semata), maka hujah Musyabbihah itu tidak dapat ditolak melainkan dengan menggunakan kaedah ta'wil. Walaupun begitu, mereka (Al-Asya’irah) tetap berpendapat, 'at-Tafwidh' dan tidak mendalami untuk mengetahui maksud sebenarnya adalah lebih selamat bagi aqidah.


Syubhah (kesamaran) yang digunakan oleh golongan yang mengkafirkan ulama Al-Asya’irah ini ialah dengan menuduh mereka (Al-Asya’irah) menolak sebahagian sifat Allah kerana golongan tadi menganggap bahawa tangan, kaki, mata adalah sifat-sifat bagi Allah sepertimana qudrah, iradah dan ilmu. Menurut mereka, sepertimana Allah Taala mempunyai qudrah yang bukannya seperti qudrah kita, ilmu yang bukannya seperti ilmu kita; maka begitu juga Dia mempunyai tangan tetapi bukannya seperti tangan kita, mata bukannya seperti mata kita.

Sedangkan tidak sedikit pun tersembunyi, bahawa lafaz tangan, mata dan jari-jari adalah nama-nama zat dan bukannya nama-nama sifat. Sekiranya kita menyebut 'tangan', maka yang tergambar dalam benak fikiran kita ialah tangan yang berjasad (mempunyai bentuk) (mempunyai jisim atau tajsim). Tetapi sekiranya kita menyebut 'qudrah' (berkuasa), tidaklah tergambar dalam fikiran kita qudrah yang berjasad (yang boleh dirupakan dengan bentuk). Jadi qias yang mereka gunakan itu adalah qias yang tidak tepat.

Oleh itu, melemparkan kejian ke atas ulama Al-Asya’irah yang menta'wil ketika berhadapan dengan golongan Musyabbihah, bererti telah mencabul kemuliaan mereka dan melakukan kezaliman ke atas mereka, serta menolak jasa yang mereka curahkan untuk menjaga aqidah. Apatah lagi sekiranya mereka (Al-Asya’irah) ini dikafirkan. Mereka yang mengkafirkan golongan Al-Asya’irah ini akan digolongkan ke dalam mereka yang dimaksudkan oleh hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sekiranya seorang lelaki memanggil kepada saudaranya seIslam, 'wahai kafir', maka kata-kata itu akan terkena kepada salah seorang dr keduanya. Jika benar seperti yang dikatakan, maka dia selamat. Sekiranya tidak tepat, maka tuduhan itu akan kembali kepadanya.." (Muttafaq 'alaihi)



Dan hadith:
"Sesiapa yang memanggil seorang lelaki dengan lafaz kekufuran, atau memanggil 'wahai musuh Allah', Sedangkan yang dituduh itu bknlah seperti yang dikatakan, maka tuduhan itu kembali kepada yang menuduh.." (Muttafaq 'alaihi)

Perumpamaan mereka yang mengkafirkan ulama Al-Asya’irah atau Imam Abu Hasan al- Asy'ari sendiri adalah bagaikan seorang pelatih yang baru ditempatkan di hospital untuk belajar dengan seorang doktor pakar yang mempunyai sijil yang tertinggi dalam bidang perubatan dan memiliki gelaran keilmuan yang tertinggi, sedangkan pelajar yang baru tadi sekadar membaca atau belajar cara membalut luka. Kemudian selepas belajar cara membalut luka itu, dia bangun mempertikaikan doktor pakar tadi dan melemparkan tuduhan dengan mengatakan bahawa doktor tersebut tersilap dan jahil, serta meragukan orang ramai pada maklumat yang dimiliki oleh doktor pakar tersebut.
Allahu a'lam..

Sekian, Sumber:

http://amirzuhair.blogspot.com/2010/11/kenali-mazhab-aqidah-asyairah.html
Al-Bid'ah fi al-Mafhum al-Islami ad-Daqeeq (Salah Faham Terhadap Bid'ah), Dr. Abdul Malik ibn Abdurrahman as-Sa'adi,laman web yayasan sofa n9

Comments (2)

wan....
bagaimana pula dengan kaedah yang dipegang wahabi???

salam, maaf itu saya tak berapa tahu.. harap boleh tanyakan kepada yang lebih pakar... saya baru 18.. so tak berapa nak tahu.. sorry!!!

Ratings and Recommendations by outbrain